Friday, May 13, 2011
Tuesday, September 7, 2010
Pengumuman Jamuan Raya
Pengumuman Jamuan Raya
Saturday, August 28, 2010
Berkisar Ekonomi Semasa
Dinar Emas, penting sangatkah? Dirham dan Fulus? Penting sangatkah? Bukankah kita sudah mempunyai wang kertas atau disebut sebagai 'fiat money' yang sudah kita gunakan bertahun-tahun, malahan berpuluh-puluh tahun. Untuk tukar mind set, untuk menggunakan emas sebagai alat transaksi jual beli, rasanya masyarakat belum bersedia - ada yang berfikiran begitu.
Kita lihat pada sinopsis kisah dan kronologi yang berlaku, serta plot dan jalan ceritanya.
Hakikat kejatuhan khilafah yang sebenar pada tahun 1909, manakala 1924 adalah pemansuhan khilafah secara total. Ini perkara pertama.
Pada tahun 1910, berlaku perbincangan dalam kalangan beberapa orang Yahudi - merupakan ketua-ketua pengurusan kewangan di beberapa buah negara - di sebuah pulau yang bernama Jekyll Island. Perbincangan tersebut berkisar 'monetary policy' dan juga sistem perbankan. Pada waktu inilah, Federal Reserve Department yang seterusnya membawa ke arah penubuhan Fraction Reserve banking diwujudkan. Apakah hasil perbincangan tersebut?
Teori kejatuhan ekonomi sekitar 100 tahun ini, bermula pada tahun 1910 sebagai 'initial time' mempamerkan kejatuhan ekonomi melalui kejatuhan masa yang tersusun, iaitu setiap 10 tahun. Secara hakikatnya, tidak semua kejatuhan ekonomi disebabkan konspirasi, malahan mungkin sahaja berlaku disebabkan tenaga luar kawalan kita; bala bencana yang diturunkan oleh Allah melalui 'Natural Disaster'.
Namun, ada figure yang tersembunyi di sebalik kejatuhan ekonomi terancang dalam beberapa peristiwa kejatuhan ekonomi. Setakat 1998 - manipulasi dan spekulasi mata wang, yang dihuru-harakan di kawasan Asia spesifikasinya Asia Tenggara oleh Soros - manakala 2008, berlaku pula percetakan wang kertas yang tidak terkawal dan melambakkan liabiliti terhadap peminjam - hatta si muflis pun boleh meminjam, kerana ketamakan ribawi - ditambah pula dengan kejatuhan terancang Lehman Brothers. Prinsip hutang - mudah sahaja untuk difahami - hutang akan menyebabkan manusia terikat. Kerana itu, IMF menjadi sumber untuk memeras negara-negara terdesak dengan perjanjian-perjanjian yang menguntungkan sebelah 'pihak'. Supaya negara tersebut akan mengikut telunjuk mereka.
1917, berlaku pula deklarasi Belfour, permulaan kepada pendudukan Yahudi di Palestin.
1924, pemansuhan khilafah.
1929, Great Depression atau Kemelesetan yang teruk akibat Keruntuhan Wall Street. Dikatakan, ekonomi mula pulih sekitar tahun 1939, kerana pada waktu itu banyak negara menumpukan kepada persediaan peperangan yang merangsang pertumbuhan ekonomi.
1944, perjanjian Bretton Woods, telah mengumpulkan banyak negara dengan menetapkan bahawa setiap negara perlu menerima pakai kadar pertukaran mata wang dengan emas.
1945, kewujudan IMF.
1948, Israel menjadi negara.
1971, Richard Nixon, Presiden US waktu itu, telah membatalkan tambatan US Dollar kepada emas kerana terlalu banyak peruntukan disalurkan pada Perang Vietnam. Perkara inilah yang menjadi asas kepada penamatan sistem Bretton Wood.
1980-an, berlaku kemelesetan ekonomi akibat krisis harga komoditi terutamanya minyak.
1998, krisis kewangan Asia (Financing Crisis).
2008, krisis kewangan US. banyak negara yang terkesan, termasuk Malaysia.
Kebanyakan krisis ini berlaku kerana penggunaan kertas yang tidak ditambat dengan sesuatu yang mempunyai nilai yang tetap, atau menjadi semakin tinggi, bukannya menurun. Tambatan pada nilai US, yang mungkin bila-bila masa sahaja akan mengalami kejatuhan teruk akan menyebabkan ekonomi kita akan menjadi tidak stabil.
Beberapa perbincangan yang dilakukan, kami percaya bahawa wang kertas masih relevan andai kata kita menggunakan konsep tambatan nilai mata wang dengan 'reserve' negara. Begitu juga, apabila OIC mampu untuk membina kesatuan menjadikan dinar emas sebagai transaksi jual beli sama ada melalui konsep tambatan ataupun penggunaan secara langsung, sebagaimana Eropah menjadikan matawang Euro sebagai mata wang transaksi, OIC akan jadi kuat.
Perkara ini pernah diusulkan pada zaman Mahathir. Manakala, Najib pada tahun lepas, juga mencadangkan supaya Perjanjian Bretton Wood kedua dilaksanakan, namun, kenapa masih tidak dapat dilaksanakan?
'Asking Question from surface into the inner part.'
Rangkaian cadangan dan pelaksanaan haruslah mendapat nasihat atau arahan. Ada hierakinya yang tersendiri. Negeri - Negara - Dunia. Siapa yang mengawal dunia? Tekanan dari luarlah yang membantutkan cadangan untuk dilaksanakan.
Tahniah kepada kerajaan Negeri Kelantan, kerana berjaya mencipta provokasi membuka minda, minda OIC juga negara Malaysia.
Friday, August 6, 2010
Kedatangan Tetamu; Bersediakah kita??
" Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa"
Ayat ini menjadi dalil diwajibkan berpuasa kepada umat Islam yang diturunkan pada tahun kedua Hijrah setelah Rasulullah S.A.W berlaku hijrah dari Kota Mekah ke Madinah Al-Munawwarah. Intisari ayat yang mengandungi 3 elemen iaitu Iman, Puasa dan Takwa. Maka beruntunglah kepada kita andai semua elemen ini dapat kita capainya di bulan Ramadan nanti.
Sesungguhnya hikmah Allah tidak dapat dinafikan lagi dengan kewajipan berpuasa di bulan Ramadan. Setelah perut kita tidak henti-henti bekerja selama 11 bulan, maka tibanya Ramadan untuk mendidik nafsu diri dengan berpuasa.
Namun, di sebalik hari-hari yang mendatang ini kita masih leka tanpa sebarang persediaan untuk meraikan tetamu yang mulia ini. Bila tiba waktu tetamu istimewa datang ke rumah bukan main kita bersiap untuk meraikannya. Hidangan yang enak dan layanan istimewa sudah semestinya menjadi persembahan terbaik kita untuk mereka. Alangkah berbezanya layanan kita!
Kedatangan Ramadan yang sarat dengan muatan berkah, rahmat dan sebagainya di samping berlakunya peristiwa bersejarah seperti Perang Badar, Nuzul Al Quran dsb perlu disambut dan diraikan oleh kita sebagai umat Islam. Musim jualan 'Mega Sale' yang menawarkan ganjaran berlipat ganda ini amat rugi kalau kita biarkan berlalu tanpa kita tidak turut serta membeli-belah dalam musim ini.
Akhirnya, raikanlah kedatangan bulan Ramadan ini dengan 'hamparan karpet merah' seperti bacaan tadarus Al Quran, solat terawih di malam hari dan pelbagai lagi amalan-amalan sunat untuk mendapat ganjaran bonus dari Allah di penghujungnya serta cabutan bertuah, Malam Lailatul Qadr. Ahlan wasahlan Ya Ramadan Al Mubarak.
Monday, July 19, 2010
Kita Lambat Matang
Kita lambat matang. Tidak cepat kita menjadi matang. Keanak-anakan kita tidak bertempat, tidak salah kebudak-budakan, siapa kata salah? Tetapi, biarlah sifat itu kena pada tempatnya. Dunia, peredaran dan cara pemikirannya telah mula berubah, doktrin globalisasi, proses perataan sejagat telah melambatkan kematangan kita. Kita mungkin maju dalam pembangunan fizikal holistik, tetapi, kita gagal mencapai kematangan dalam pembangunan minda dan roh, dalam mengenal pasti potensi individu seorang demi seorang.
Khai, seorang anak muda. Seorang lelaki. Umurnya sekitar 18 tahun. Rumahnya, di sebuah kampung yang telah dilengkapi dengan kemudahan awam; elektrik, air dan fasiliti lain, yang mana suatu ketika dahulu, terlalu sukar untuk diperolehi. Pada zaman Jepun.
Dia bersekolah di sekolah kerajaan, sama seperti anak-anak muda lain. Pernah memasuki Tabika Kemas, berbaju uniform biru, ketika berusia 6 tahun, kerana di kampungnya, masih belum wujud PASTI. Ketika melangkah ke alam sekolah rendah, ibunya mendaftarkan dirinya ke sebuah sekolah kebangsaan, juga di dalam kampungnya.
Mafhum sahajalah perangai anak-anak sewaktu mula-mula memasuki alam sekolah. Merengek-rengek, memberontak, tidak mahu untuk pergi ke sekolah. Terpaksalah ibunya menemaninya selama satu bulan sebelum dia dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran baru. Alahai, anak emak…
Pertama kali di alam persekolahan, sewaktu darjah enam, dia didera mental dan fizikal untuk menjawab soalan-soalan daripada kertas peperiksaan tahun-tahun lepas, semata-mata untuk memastikan 5A, adalah matlamat yang akan dapat dicapai dalam peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR). Setiap hari, dia berhempas-pulas untuk menjawab soalan-soalan peperiksaan sama ada kertas contoh atau latihan daripada guru.
Keputusannya, dia mendapat 5A. Mudah sahaja mendapat 5A. Bukan dia seorang sahaja mendapat 5A, tetapi, ramai lagi yang mendapat 5A. Sekolah itu mencatat sejarah, dalam tempoh 20 tahun sekolah itu beroperasi, hari pengumuman keputusan UPSR zaman Khailah merupakan hari bersejarah. Dalam kuantiti calon seramai 79 orang, 25 orang mendapat 5A, berbanding sebelum-sebelum ini, tidak pernah bilangan murid yang mendapat 5A mencecah angka puluhan, malahan belasan juga.
Pencapaian menakjubkan! Persoalannya, apakah generasi Khai sudah mula pandai?
Dengan keputusan itulah, Khai ditawarkan ke sekolah berasrama penuh, juga milik kerajaan. Kerajaan pusat. Dia juga mendapat tawaran untuk belajar di sekolah berasrama penuh milik kerajaan negeri yang menuntut royalti daripada kerajaan pusat pada waktu itu.
Kerajaan pusat dan kerajaan negeri, milik Partikah atau milik rakyatkah? Timbang-tara yang dilakukan oleh kedua-dua ibu bapanya, tidak mahu melepaskan anak kesayangannya ini ke sekolah berasrama. Kata mereka,
“Khai baru form 1.. Biarlah ada depan Ma dan Abah.. Apa-apa hal, Ma dan Abah tahu.. Lagipun form 1, belum bersedia lagi untuk berjauhan dengan Ma dan Abah..”
Khai akur. Kedua-dua tawaran ditolak. Tetapi, dia dimasukkan ke sekolah agama, milik kerajaan pusat. Sekolah Menengah Kebangsaan Agama. Sekolah itu, pada asalnya adalah pondok, merupakan bumi wakaf, sudah berpuluh-puluh tahun lamanya, namun, kerana kebimbangan sesetengah pihak yang tidak berasas, kata mereka,
“Pondok ini bakal melahirkan pengganas..”
Satu kata-kata yang cukup pedas, istilah ‘penentang kerajaan’ ditukar menjadi ‘pengganas’, lantas sekolah ini diambil alih oleh kerajaan pusat. Takutnya mereka pada golongan yang berserban dan berjubah. Kata mereka,
“Kalau begitulah pandangan memanda menteri sekalian, maka eloklah sekiranya sekolah ini terus mendapat pemantauan daripada kita..” Itulah keputusan mesyuarat 30 tahun dahulu, sekitar tahun 70-an.
Khai ke sekolah itu, niatnya satu. Belajar. Orang kata,
“Sekolah kau tu hebat.. Ramai best student kat situ.. Pertandingan ko-akademik, sekolah tu banyak menang ke kebangsaan..”
Khai ingin tahu sejauh manakah kehebatan sekolah itu. Benar kata mereka. Sekolah itu hebat. Sewaktu di tingkatan satu, dia melihat para seniornya di menengah atas, cukup matang, berorganisasi dengan baik, mengharumkan nama sekolah dalam banyak pertandingan. Dia cukup kagum. Pencapaian akademik menjulang nama sekolah ke peringkat kebangsaan.
Itu berlaku, sewaktu dia di tingkatan satu. Melihat kematangan orang lain. Para senior tidak takut. Undang-undang sekolah ada, peraturan masih ada, tetapi, pelajar tidak dikongkong untuk bercakap di hadapan perhimpunan. Mereka menjadi berani, mereka menjadi kuat kerana mereka diberikan peluang.
Lama di sekolah itu, dirinya berubah mengikut biah. Biah yang diterapkan oleh para senior. Program Tamrin tingkatan satu dan dua wajib diikut, yang menjadi medan untuk dilakukan pembersihan minda, supaya Inqilabiyah menjadi rukun dalam mindanya. Tidak dibenarkan melakukan percampuran antara yang haq dan batil.
Dia belajar membina kematangan dari situ. Menjadikan agama sebagai puncak dalam hidup, bukan menyisihkan perkara lain, tetapi perkara lain dibentuk menjadi tangga untuk menuju ke puncak hidupnya, Maza Ya’ni Intima’ lil Islam (Apa ertinya saya menganut Islam?).
Sekali lagi, dia terpaksa menghadapi karenah sistem pendidikan. Peperiksaan Awam kedua, Penilaian Menengah Rendah (PMR). Seperti biasa, bank soalan akan dibuka, dan para pelajar dikehendaki untuk menjawab. Sekolah bermula pada jam 7.15 pagi dan hanya berakhir pada jam 4.30 petang, kerana kelas tambahan.
Hari-hari dia dipaksa menjawab soalan, soalan dan soalan.. Sehingga dia muak. Sejak itu, dia kurang menyukai sistem penilaian pendidikan negaranya sendiri. Dia tidak menentang kerajaan, Cuma, dia ingin menginovasikan sistem pendidikan, supaya tampak lebih baik. Kata Tun Abdullah,
“Bukan bekerja untuk saya, tapi kerja bersama saya.”
Dia mula faham istilah exam-oriented yang disebut-sebut oleh para seniornya. Orientasikan peperiksaan. Namun, dia masih lagi seorang pelajar biasa di sekolah itu, terus memandang orang lain hebat, sedang dia hanya mendapat tempias kehebatan orang lain. Apabila ditanya,
“Kamu sekolah mana?”
Spontan dia menjawab,
“Sekolah Menengah Kebangsaan Agama……”
Mereka memuji,
“Hebat sekolah tu! Pelajar-pelajarnya hebat belaka!”
Dia hanya tersenyum. Yang hebatnya orang lain, dirinya tak hebat pun. Krisis motivasi diri.
Keputusan peperiksaan PMR, ditakdirkan dengan usaha dan tawakkalnya, dia mendapat 9A. Bersama-sama dengan kawan-kawan lain. Seperti biasa, sekolahnya berjaya mengekalkan prestasi sebagai sekolah terbaik negeri selama lima tahun berturut-turut. Seperti kebiasaan. Satu perkara yang cukup berbeza dengan apa yang terjadi sewaktu dirinya darjah enam.
Melangkah ke alam menengah atas, dia hairan, mengapa dirinya tidak sebesar abang-abang senior dahulu. Mengapa mukanya baby face? Apakah dia tidak matang? Bahkan sahabat-sahabatnya yang lain juga dilihat bersifat kebudak-budakan. Sahabat-sahabat lelaki. Pelajar-pelajar perempuan pula sibuk menonjolkan diri, sama ada dalam akademik, mahupun kokurikulum.
Kalau dahulu, dia mengkagumi senior-senior menengah atas, namun, apabila dia menjadi senior, dia tidak mampu untuk mengkagumi diri sendiri. Hairan. Bukankah menengah atas sepatutnya sudah menjadi matang?
Juga, dia melihat, pada zamannya, biah sekolah yang Islamik, mula dicemari dengan kes-kes disiplin yang tidak masuk akal. Yang mungkin juga, berlaku satu ketika dahulu, tapi tidak sebanyak pada zamannya. Semuanya berpunca disebabkan senior yang merasakan dirinya besar atau dewasa, tetapi tidak matang, atau junior yang telah dilalaikan dengan matlamat orientasi peperiksaan berbanding pengislahan dan tazkiyah diri.
Mungkin juga berpunca, daripada dirinya, seorang senior, yang memimpin pelajar-pelajar sekolah! Salah siapa? Dia lebih suka menyalahkan dirinya sendiri. Salah dirinya kerana tidak menjadi senior yang baik. Senior yang lambat matang.
Menjadi seorang senior, adalah menjadi seorang suri teladan. Apa yang dilakukan oleh senior bakal dicontohi oleh junior. Supaya para junior, apabila mereka menjadi senior, mereka sendiri boleh menjadi suri teladan, kerana proses senior-junior akan sentiasa berlaku.
Apabila junior bertanyakan kepadanya tentang situasi sekolah yang semakin terbuka, sehingga dibimbangi akan menghanyutkan para pelajar, dia lebih suka bercerita.
Pernah satu ketika, Saidina Ali ditanya,
“Wahai Ali, mengapa pada zamanmu, para pengikutmu tidak seperti pada zaman Abu Bakar dan Umar?”
Jawab Ali,
“Pada zaman Abu Bakar dan Umar, pengikutnya adalah orang seperti aku, sedangkan pada zamanku, pengikutnya adalah orang seperti kamu.” Noktah.
Dan juga, dia menjelaskan,
“Kalau dahulu, abang-abang boleh angkat tangan, sentuh tubuh kami tanpa rasa bersalah, semata-mata untuk hukum kami, yang membuatkan kami sedar akan kesalahan kami, tapi hari ini, situasi berbeza.”
“Mengapa?” Para junior tidak sabar-sabar ingin tahu.
“Kami akan dipanggil oleh pentadbiran, disebabkan ada laporan daripada pelajar yang kena denda oleh kami, abang-abang. Sebab, mereka tak sedar kesalahan mereka walaupun kena hukum.”
Memang pentadbiran kali ini terlalu bertegas dengan pelajar. Pelajar tidak dibenarkan bercakap di perhimpunan, alasannya, kerana tidak mahu masa untuk akademik dicuri. Alasan yang mungkin relevan. Tetapi, sekadar untuk berbicara dua minit pun, menegur dan memperbaiki diri sendiri, itu pun tidak dibenarkan? Itulah kepelikan yang berlaku. Tetapi, arahan tetap arahan. Tidak mematuhi arahan orang tua, jawabnya sengaja memancung diri.
“Tapi, bukan kami..” Para junior yang mempunyai kesedaran itu menafikan.
“Bukan kamu, tapi kawan-kawan kamu. Untuk matang, kelompok kamu sahaja tidak cukup. Kamu perlukan kawan-kawan lain untuk matang bersama-sama dengan kamu. Macam mana?” Dia mencipta persoalan.
Juniornya menganggap dia matang, tetapi, dia tidak menganggap dirinya begitu. Apakah definisi matang sebenarnya?
Karenah sistem pendidikan yang ketiga, Sijil Pelajaran Malaysia. Orientasi peperiksaan sekali lagi menjadi mimpi ngeri buat para pelajar. Setiap hari adalah hari persekolahan, kerana ini adalah peperiksaan terpenting berbanding UPSR dan PMR.
Para pelajar, termasuk Khai telah dipenjara di sebalik jeriji kata-kata,
“Kita harus kejar kecemerlangan. Tinggalkan aktiviti lain dahulu. Fokuskan akademik.”
Benar. Sehingga menyebabkan budak-budak lelaki memberontak, apabila waktu Pendidikan Jasmani digantikan dengan pelajaran Matematik Tambahan. Kadang-kadang, subjek Biologi, atau Fizik mengambil alih. Sebab itu, mereka tidak masuk kelas pada waktu itu, meninggalkan pelajar-pelajar perempuan yang terlalu obses dengan pelajaran dalam kelas. Pelajar-pelajar lelaki tidak peduli. Mereka memprotes dengan cara tidak masuk kelas dan bermain di padang, walaupun sedar risiko akan dimarahi nanti. Itu bezanya antara pelajar lelaki dengan perempuan.
Lelaki lebih sukakan aktiviti yang bergerak dan berada di luar bilik darjah berbanding statik di atas kerusi dan memaksa seluruh pancaindera; mata yang melihat teks, mulut yang membaca teks secara perlahan, telinga yang mendengar mulut menyebut dan tangan yang menunjukkan perkataan demi perkataan, fokus pada satu tempat.
Seperti biasa, sewaktu pelajar lelaki bermain di padang, proses umpatan berlaku dalam kalangan pelajar perempuan, menjolok guru yang masuk ke kelas.
“Budak-budak lelaki main bola, cikgu.” Salah seorang daripada makhluk bernama perempuan ini mengadu.
“Budak-budak ni..” Cikgu mengeluh.
“Patutlah best student, budak-budak perempuan je yang ada kat atas dalam ranking.” Seorang lagi menyampuk.
“Budak laki ni macam kanak-kanak..”Ada lagi suara yang mencelah.
“Mereka ni memang lambat matang.” Cikgu membuat kesimpulan.
“Tetapi, ada yang menggatal.” Timbul spekulasi lain.
“Macam mana lah budak-budak ni nanti..Belajar tak bersungguh..” Cikgu menarik nafas, dan duduk di kerusi, sebelum memulakan pelajaran.
Dan, peperiksaan SPM yang hampir membuatkan semua orang tidak duduk diam termasuk Khai. Nak tak nak, suka tak suka, dia mesti skor 12A kali ini. Keputusan untuk menentukan universiti manakah yang layak dia masuk. Dalam tempoh dua bulan sebelum peperiksaan, dia sedar sekejap, keputusan peperiksaan kali ini, untuk masa depannya.
Maka, sesudah berakhirnya kertas peperiksaan terakhir, Pendidikan Quran dan Sunnah, mereka bersorak,
“Yahooo!! Yahoo Messenger!!“
“Pommmmm!!”
Bunyi letupan yang pertama.
“Pommmm!!” Letupan kedua.
“Pommmmmmm!!” Letupan ketiga.
Situasi sekarang sukar dikawal. Lagaknya seperti kes kejadian pengeboman di kawasan awam. Kawasan sekolah.
Buku-buku sudah dicampak ke luar. Ada di tingkap, ada di longkang, ada di atas rak. Merata-rata. Dan, ini petanda, zaman persekolahan telah berakhir, maka, perlulah ada tanda-tanda kenangan yang perlu ditinggalkan.
Mereka telah menyediakan bertin-tin cat penyembur untuk ‘menghiaskan’ sekolah ini. Dengan graffiti yang pasti akan ‘menarik minat’ pengetua. Biar pengetua tahu, inilah produk akademik yang pihak pentadbiran ingin lahirkan. Tetapi, sudah tentu Khai berkecuali dalam hal ini.
Khai memandang semua ini dengan insaf. Khai menasihati mereka, sebagai seorang kawan, walaupun beberapa orang sahaja yang hanya mendengar katanya, namun masih ada yang melakukan vandalisme itu. Kata mereka,
“Ini hadiah untuk cikgu tersayang.”
Dendam mereka pada cikgu-cikgu terukir dengan kata-kata tidak elok di tandas. Mangsa dendam mereka semestinyalah Guru Disiplin. Inikah pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama? Pelajar yang diharapkan menjadi seorang Imam dan Bilal, pelajar yang diharapkan menjadi seorang pemimpin masyarakat, malahan Negara? Di manakah adab sebagai seorang penuntut ilmu?
Khai berfikir sejenak. Ada perkara yang tidak kena dalam hal ini. Mereka semua bukan pelajar bodoh dan lembam, dalam kalangan mereka adalah pelajar yang mendapat top 10 dalam tingkatan. Tetapi, mereka melakukan tindakan bodoh seperti ini. Mungkinkah mereka lambat matang, untuk berfikir perkara baik dan buruk?
Semalam, di masjid, dia mengikuti kuliah Tauhid, yang memasuki bab keimanan kepada Rasul, dan menyingkap secara sepintas lalu tentang kisah nabi Muhammad SAW.
“Fatimah berkahwin pada usia 15 tahun dengan Ali. Aisyah berkahwin dengan Nabi sewaktu berusia 9 tahun. Persoalannya bukan tentang perkahwinan, tetapi, persoalannya adalah berkaitan dengan usia.”
“Usia Fatimah adalah belasan tahun, telah menjadi isteri, dan terbukti menjadi isteri yang baik. Begitu juga dengan Aisyah. Ada yang berpendapat, itu kisah orang dahulu. Kahwin awal. Namun, itu bukan persoalan asal. Nenek moyang kita juga berkahwin awal.”
“Tapi, kita? Sebenarnya pemikiran orang dahulu lebih advance daripada kita. Dalam usia muda, mereka mampu berdikari, dan membina kredibiliti sebagai pemimpin dan pengikut dalam rumah tangga. Tapi, kita? Usia makin tua, tapi, kita lambat matang.”
“Sebab apa? Kalau kita tengok, ketika Fatimah berkahwin dengan Ali, pada malam pertama, juga disebut sebagai Lailatul Zawwij, iaitu malam pengantin perempuan dihantar ke rumah pengantin lelaki, Fatimah bersama seorang pembantunya ke rumah Ali. Sampai di rumah Ali, Rasulullah juga datang. Maka cerita pembantu Fatimah yang bernama Asma’,
“Tatkala nabi datang, aku menjarakkan diri aku dari mereka dan berselindung di balik kain. Saat itu, aku melihat rumah Ali, di dalamnya hanya ada satu tikar, satu bantal, satu tempayan dan satu kendi. Itu sahaja yang ada.”
“Masyarakat dahulu, kematangannya kerana agama. Kita? Kematangan kita diukur berdasarkan benda. Tak cukup duit, tak boleh kahwin. Contoh.”
Khai rasa terketuk. Dia lambat matang. Dia tidak cepat matang, sematang orang dahulu.
Dia sendiri yang mencipta soalan. Berdasarkan kaedah mencetuskan persoalan melalui singkatan 5WH yang dipelajarinya; What? Where? When? How? Who?, dia akan menyiapkan sebuah kertas cadangan. Matlamatnya, kalau tidak sampai ke Perdana Menteri sekalipun, sekurang-kurangnya, biarlah orang awam menganalisis sendiri, dan sama-sama memperbaiki kesilapan sama ada dalam sistem, mahupun keadaan.
Atau, mungkin dia boleh mengadakan diskusi! Berminda pelbagai lebih baik daripada berfikir seorang diri!
DISKUSI
Diskusi, caranya bervariasi. Formal atau tidak formal. Yang penting, bagaimana untuk mewujudkan suasana.
Sementara menunggu keputusan peperiksaan diumumkan, sesekali Khai berjalan-jalan bersama-sama dengan keluarganya di bandar. Bukan metropolitan. Sengaja pada suatu hari, bapanya mengajaknya bersiar-siar, dan menikmati makan malam keluarga di luar.
Bapanya, seorang pensyarah antropologi dan sosiologi. Membaca situasi masyarakat adalah kemahiran yang dimilikinya. Tatkala sedang berada di suatu dataran di kawasan Bandar, sambil-sambil mereka semua merenung akan laut yang terbentang luas, dengan bunyi ombak yang menenggelamkan bunyi kereta, datanglah sekumpulan anak muda lelaki yang menunggang motosikal, bersama-sama mereka adalah pasangan perempuan, yang membonceng di belakang.
Kata bapanya kepada ibunya,
“Sayang, cuba tengok tu. Mereka menganggap dengan bertindak begitu mereka nampak matang. Nampak seolah seorang dewasa. Padahal, mereka itu, tak reti apa-apa melainkan motor.”
Ibunya sebagai seorang guru pula menambah,
“Trend sekarang, bang. Trend budak-budak muda sekarang. Dulu, trend vespa, sekarang trend motor EX-5. Kalau budak-budak sekolah yang bermasalah pulak, hisap rokok tu cara nak tunjuk diorang matang.”
Khai ingin juga mencelah,
“Ma, Abah, Khai rasa sebab lain, adalah cara mereka berfikir. Apa yang mereka katakan matang, sebenarnya pada pandangan kita adalah tidak matang. Mereka berfikir songsang dengan kita.”
Mereka semua saling memandang.
“Kematangan itu berkait rapat dengan proses berfikir, dan perkara paling mudah untuk menilai kematangan seseorang adalah dengan melihat bagaimana cara mereka berperilaku. Dan untuk mengasah proses berfikir untuk membezakan antara yang baik dengan buruk, proses ini memerlukan latihan, pendedahan dan pengawasan. Dalam erti kata yang lain, memberikan peluang dan pengalaman.” Bapanya menerangkan, dengan nada seorang pensyarah dalam bilik kuliah.
“Abang ni, dalam kereta pun nak bersyarah.” Ibunya mengusik.
“Abah, ada sumber tak kata-kata Abah tadi?” Khai tidak mempedulikan usikan ibunya kepada bapanya.
“Wah, anak Abah dah jadi macam pensyarah Abah dulu.” Bapanya tersenyum. “Kalau dalam kitab Ihya’ Ulumuddin, Imam Ghazali menekankan kepada ibu bapa, untuk menjaga dan mengawasi pendidikan anak-anak, supaya aspek akhlak itu menjadi teras dalam bidang pengajian. Dan, kata beliau lagi, pengajian dan pemahaman Al-Quran adalah asas penting bagi anak-anak muda.”
Ibunya terdiam mendengar bicara dua beranak ini.
“Bercakap tentang pengalaman, Abah, Khai rasa, sistem sekolah yang berfokuskan akademik, tidak memberi peluang kepada pelajarnya untuk menimba pengalaman. Abah setuju?” Khai membangkitkan isu.
“Maksud Khai, sekolah macam Khai?” Ayahnya mengerti benar soalan yang mengandungi maksud tersirat.
“Mungkin….” Sepatah sahaja terkeluar daripada mulutnya.
“Dalam Muqaddimah, Ibnu Khaldun menjelaskan kesanggupan berfikir itu ada tiga tingkatan; Pertama, al-aql ut-tamyizi, juga disebut sebagai pemikiran untuk membezakan. Jenis pemikiran ini bersifat tanggapan, dan juga memperlihatkan kemampuan manusia untuk memperoleh sesuatu yang bermanfaat bagi dirinya dan penghidupannya, dan menolak kemudaratan.
Kedua, al-aql-tajribi, intelektual eksperimental. Perkara ini didasari dengan pengalaman. Manakala ketiga, al-aql an-nadzari iaitu intelek spekulatif. Manusia mampu membuat andaian melampaui persepsi pancaindera berdasarkan ilmu.
Namun, dalam konteks akademik, persediaan ilmu telah diberi dalam bentuk teori, dan perkara ini perlu dalam proses belajar. Yang tak betulnya adalah apabila proses akademik itu menjadi proses berorientasikan peperiksaan. Maka, penghayatan kepada ilmu itu tidak ada. Kesannya, belajar sekadar untuk mendapatkan A. Tetapi tidak membina kematangan. Kita tak bereksperimentasi dan cuba untuk menganalisis, berfikir secara futuristik, tentang apa yang akan berlaku pada masa hadapan. Ini berkait rapat dengan kematangan. .” Bapanya mengulas panjang lebar.
“Ditambah pula, tanpa pengalaman bereksperimentasi secara realiti, hanya akan membina dunia pelajar yang terlalu idealistik. Tetapi, sebenarnya lebih baik menjadi seorang pelajar yang beridealistik berbanding menjadi pelajar yang tidak mahu ambil kisah hal dunia. Intelek untuk membezakan atau tamyiz pun tak lepas. Tak mampu membezakan mana baik, mana buruk untuk diri. Itulah yang melambatkan proses kematangan. Lebih menjurus untuk buat hal sendiri. Tak mahu berfikir.”
Ibunya mendengar dengan penuh minat.
“Abang, kalau tak dapat A, gred merudum, adalah pegawai datang nanti.”
“Hurm, ni satu sebab lagi. Guru mengajar untuk apa Sayang?” Bapanya pula mengusik ibunya.
“Ilmula…” Ibunya menjawab manja.
Khai tersengih di belakang melihat gelagat suami isteri ini.
“Pandai pun. Jadi, apabila tekanan diberikan oleh pegawai jabatan kepada guru, matlamat asal guru untuk memberi ilmu berubah menjadi untuk skor A. Apabila matlamat berubah, maka kaedah pengajaran juga berubah. Sistem pendidikan yang sepatutnya disempurnakan dengan penuh tenang dan menjalankan pelbagai aktiviti, dibazirkan dengan sentiasa menjawab soalan-soalan peperiksaan. Tak sampai sebulan ujian, ada ujian lain. Kan Khai?” Bapanya memandang dirinya.
“Setuju Abah!! Abah memang terbaik..” Dia menjawab spontan. Satu perkara yang sudah lama dipendam, mendapat pengiktirafan dan sokongan daripada bapanya.
“Tapi bang, kalau tak ada peperiksaan, macam mana nak buat sistem penilaian?” Ibunya masih tidak berpuas hati.
“Abang tak kata tak boleh buat peperiksaan. Masih perlu dilakukan, kerana peperiksaan adalah salah satu indikator untuk menilai. Untuk membina kematangan, peperiksaan perlu bersifat holistik, tidak bergantung kepada teori di atas kertas. Perlu ada pembentangan, perlu ada projek, perlu ada penyelidikan. Tapi, dalam tahap anak-anak. Terus terang abang cakap, sekolah membantutkan kematangan anak-anak.” Bapanya cuba menjelaskan dengan baik.
Ibunya seperti tadi, masih tidak berpuas hati. Kali ini, Khai lebih suka mendengar. Menyaksikan Ibunya dan Bapanya berbeza pendapat adalah suatu perkara yang menarik.
“Maknanya, maksud abang, sekolah sekarang tak membina kematanganlah?”
“Ya sayang.” Bapanya mengangguk.
“Sebab orientasikan peperiksaan?” Ibunya bertanya lagi.
“Yes. Sebab ia tidak membina penghayatan.” Bapanya menjelaskan.
“ ‘Ia’ tidak boleh digunakan untuk merujuk benda. Sila ambil catatan.” Ibunya menyindir.
Bapanya tersenyum. “Baik Cikgu. Orientasi peperiksaan tidak membina penghayatan. Knowledge is there. Tapi, penghayatan tidak ada. Senang cakap, skema dah ada pun. Tapi, amalan, hampeh. Dengan kata lainnya, kita tak ambil pengajaran daripada konsep beriman kepada malaikat, Munkar dan Nakir yang menyoal orang mati dalam kubur. Kita dah tahukan jawapannya, betul tak?”
“Ma robbuka?” Khai sengaja bertanya dengan suara yang kasar, mengejutkan kedua-dua ibu bapanya.
“Seram Ma dengar.” Ibunya memeluk tubuh.
“Tapi, kenapa ada saja orang yang tak dapat jawab soalan Munkar Nakir? Sebab tidak ada penghayatan. Kita tahu secara teori, tetapi, praktikal, kita tak dapat nak buat.” Bapanya menyambung lagi. “Dan satu lagi, sistem peperiksaan mengongkong idea pelajar untuk dikeluarkan. Sebab, dalam soalan KBKK pun ada skema, bukan bergantung sepenuhnya bagaimana cara pelajar itu berfikir. Tu yang susah nak jadi matang. Semua benda, tak boleh nak fikir terlalu jauh. Mesti tertakluk pada skema.”
“Ma angkat bendera putihlah Khai kalau berdebat dengan Abah kamu ni.” Ibunya memandang ke arahnya.
“La, bukan ke sebab tu awak jatuh cinta pada saya?” Giliran bapanya pula mengusik. Ibunya tersipu malu. “Dan, pendidikan hari ini menyebabkan kita terpengaruh dengan idea materialis.”
“Idea materialis?” Serentak Khai dan ibunya bersuara.
“Ya, idea materialis. Menjadikan benda sebagai matlamat. Bukan rohnya. Sembilan subjek yang diambil, maka perlu skor berapa A?” Ayahnya bertanya.
“Sembilan!!” Khai menjawab penuh bersemangat.
“Nampak tak? Matlamatnya A. Bukan kefahaman. Itu yang diajar oleh pakar motivasi kita. Itu yang songsang. Orang belajar kerana matlamatnya A, dia takkan belajar betul-betul. Dia akan buat apa sahaja untuk dapat A. Walaupun dengan cara yang tak betul.” Bapanya menerangkan. “Sayang, dulu kita kahwin, kita ada Honda City ke? Kita ada rumah tak?”
“Kita sewa je waktu mula-mula dulu. Kereta ada pun, kereta Nissan Sunny model lama. Tapi, oklah. Tak kisah pun. Asal ada suami yang baik.” Ibunya menyingkap kenangan perkahwinan mereka suami isteri.
“Terima kasih pujian tadi sayang. Berbalik pasal tadi, dulu mas kahwin pun rendah, nasib atuk dan wan kamu, tak minta hantaran tinggi, mereka faham situasi abah, orang baru habis belajar, tapi nak berkahwin sebab betul-betul cintakan Ma kamu ni. Orang lain masuk minang, ditolaknya. Abah masuk je, terus diterima. Lagipun, orang dah sama-sama nak.. Sebab soal benda, bukan disebabkan berapa banyak kamu ada, tetapi berkaitan dengan bagaimana kamu nak uruskannya? Itu yang Abah pegang sampai sekarang. Benda itu sifatnya sementara, juga disebut sebagai ilusi dan persepsi akibat tidakan otak dan saraf yang dialirkan melalui pancaindera. Khai boleh buka buku Harun Yahya kalau nak tahu lebih lanjut. Itukan sifat dunia, lebih pada persepsi. ” Bapanya mengesyorkan setelah bercerita panjang lebar.
“Datuk nenek kita dulu pun kahwin awal. Dengan mudah mereka berkahwin, dan hari ini, anak cucu mereka berjaya. Itu dulu. Sekarang, pemikiran mengejar harta menyebabkan lambat kahwin. Lambat kahwin bererti lambat beranak. Semua ini kesan globalisasi juga konspirasi globalisasi, the concept of New World Order. Nak melambatkan kematangan dalam berurusan rumah tangga. Tapi, jangan salah faham pula, ada orang tak berkahwin, bukan sebab tak matang, tapi, sebab nak cari ilmu dulu. Contoh, macam Imam Nawawi walaupun ada pendapat menyatakan Imam Nawawi berkahwin, tapi perkahwinannya sekejap.”
“Kalau Khai nak kahwin awal, boleh?” Sengaja Khai mengacah.
“Abah tak kisah.” Bapanya tidak mengulas panjang.
“Baru habis SPM, dah fikir nak kahwin. Belajar biar habis dulu. Nak kahwin, lepas habis belajar. Nanti nak tanggung anak orang macam mana?” Ibunya mengomen.
Khai dan bapanya saling berpandangan. Tersenyum. Nampaknya, ibunya tidak terpengaruh dengan hujahan bapanya tadi. Memang seorang wanita yang tetap pendirian.
“Abah, dalam Muqaddimah juga, Ibnu Khaldun sebut bahawa, masyarakat kota, jiwa mereka lemah berbanding masyarakat Badwi. Antara sebabnya adalah kongkongan penguasa dan juga peraturan yang mengekang. Mungkin AUKU juga melambatkan kematangan?” Khai cuba untuk tampil dengan hujah yang bersifat rujukan.
“Pandangan secara akademiknya, begitulah. Kadang-kadang peraturan yang mengongkong dan tidak memberi peluang hanya akan melahirkan golongan anak muda yang tidak berani dan tidak matang. Kesannya pada Negara. Apabila para pemimpin mempersoalkan manakah graduan hari ini, yang sepatutnya menjadi suri teladan dalam masyarakat menghilang dan tidak ada kualiti, maka, mereka sendiri perlu cek pada permainan politik mereka.”
“Pandangan Abah sebagai seorang ahli akademik, kalau kita tengok trend gerakan Mahasiswa, sekitar tahun 70-an, sebelum AUKU diwujudkan, mahasiswa yang dipimpin Anwar dilihat sebagai satu golongan yang mampu memacu perubahan Negara. Tetapi, setelah AUKU diperkenalkan, kebebasan intelektual dan bersuara telah disenyapkan. Kesannya, Negara hanya dapat melahirkan golongan yang hanya tahu mengangguk dan berkata, ‘Yes Mr. President!’.”
“Sekarang AUKU masih ada, cuma ada pindaan. Ada pro dan kontranya.Sebab ada akta dalam AUKU yang baik untuk memperkasakan universiti. Cuma, apabila, isu berkaitan dengan politik, pihak pemerintah menjadi sensitif terhadapa pergerakan mahasiswa, lantas ada yang kena tangkap, kena bicara. Sebab itulah, AUKU menjadi isu hangat.”
Perbualan malam itu cukup panjang, perbualan yang bersifat ilmiah dalam kalangan anak-beranak. Ibu Khai sudah tidak larat mendengar perbualan antara anak dan bapa, melelapkan mata dalam kereta, sambil-sambil angin-angin pantai menyapa kulit mukanya.
Saat keputusan SPM diumumkan, Khai berasa bersyukur apabila targetnya 12A menjadi satu realiti. Tatkala sahabat-sahabatnya yang lain menaruh harapan pada dirinya untuk menjadi doktor, Khai dengan mudah berkata,
“Untuk peringkat lebih tinggi, aku nak belajar bidang yang betul-betul aku minat dan membawa manfaat secara keseluruhan kepada seluruh anggota masyarakat.”
Sekarang ini, Khai masih berteka-teki, universiti manakah yang akan menjadi pilihannya melanjutkan pelajaran? Tetapi, sekurang-kurangnya dia sudah tidak lagi berteka-teki tentang isu kematangan. Penilaian kematangan, bukan pada harta, bukan pada benda, tetapi pada agama dan pengurusan hidup.