Sunday, March 28, 2010

PROKIM 2010

I-Exist Kembali Lagi – JOM KENAL KEHIDUPAN KAMPUS!

Program Kebangkitan Integriti Bakal Mahasiswa (PROKIM 2010)

Bertemakan ‘MAHASISWA KRITIS PENDUKUNG GENERASI BERINTEGRITI’, kami berharap para peserta akan dapat mengetahui gambaran secara kasar terhadap kehidupan di alam kampus dan seterusnya dapat merancang dengan baik kehidupan mereka apabila menjejak kaki mereka di universiti nanti. Kami juga berharap program ini dapat meyedarkan para peserta tentang peranan besar mahasiswa pemuda pemudi Islam dalam usaha mengembalikan semula kegemilangan dan kebangkitan Islam.

OBJEKTIF PROGRAM

2.1 Memberi pendedahan kepada peserta iaitu bakal mahasiswa-mahasiswa tentang kehidupan realiti alam kampus.

2.2 Menguatkan jati diri bakal mahasiswa-mahasiswa agar sentiasa menjadikan agama sebagai sumber kekuatan dalam menghadapi pelbagai mehnah dan tribulasi di alam kampus.

2.3 Mempersiapkan bakal mahasiswa-mahasiswa untuk menghadapi peluang dan cabaran dunia realiti dan persaingan luar.

2.4 Mengadakan perkongsian terbuka bersama pelajar-pelajar senior tentang suasana sebenar kehidupan di universiti

2.5 Memperkenalkan kelab Intellectual Islamic Ex-Student Club sebagai salah sebuah persatuan alumni yang aktif menjalankan program-program untuk remaja amnya dan pelajar lepasan sekolah menengah khususnya.

Diadakan pada 25-27 Mac yang lalu di Surau Sekolah al-Amin,Padang Air,seramai kira-kira 20 orang peserta dari SMKA Tok Jiring, SMKA Sheikh Abdul Malek dan SMKA Durian Guling telah menghadiri program ini. Pelbagai pengisian menarik telah dijalankan untuk memberi persediaan kepada para peserta bagi menghadapi cabaran di alam kampus.

Slot pertama, "Gigitlah Sekuatnya dengan Geraham Kamu.." disampaikan oleh Ustaz Marwan Bukhari A.Hamid dan berkisarkan serangan pemikiran yang melanda umat Islam pada hari ini. Ustaz MarBu menggesa supaya bakal mahasiswa mengkaji punca yang menyebabkan umat Islam pada hari ini mengalami proses kehilangan jati diri dengan meneliti kembali sejarah kehebatan Islam. Bakal mahasiswa juga diperingatkan agar tidak terpengaruh dengan berbagai-bagai ideologi ciptaan manusia yang tidak berlandaskan al-Quran dan as-Sunnah.

Slot kedua yang bertajuk "Semakin Belajar Semakin Mundur" pula telah dihuraikan oleh Ustaz Mohd Hasbullah Mohamad Fauzi. Penceramah lebih banyak menceritakan pengalaman beliau semasa menuntut di Darul Quran dan Asasi UIA Nilai. Para peserta berpeluang mengambil iktibar mengenai situasi sebenar di alam kampus di mana kita seharusnya bijak mempositifkan perkara-perkara negatif yang bakal ditempuhi. Antara pesanan lain yang sempat ditekankan oleh Ustaz Hasbullah ialah jaga solat berjemaah, jangan tinggalkan al-Quran, pilih sahabat yang baik, sertai usrah secara istiqomah dan tanamkan tekad untuk mencapai pointer tertinggi.

Selain itu, program ini turut diserikan dengan slot bertajuk "Mahasiswa Berintergriti menongkah Realiti" oleh Ustaz Wan Azmi bin Wan Ismail. Pengisian slot kali ini adalah tentang ciri-ciri mahasisiwa harapan yang bakal mengubah masa depan negara. Para lepasan SPM diingatkan mengenai alam kampus yang jauh berbeza daripada alam persekolahan,sekaligus menuntut mereka supaya memantapkan diri secara seimbang dari sudut idealisme, intelektualisme dan aktivitisme.

Di samping slot-slot di atas, aktiviti lain yang mengisi tentatif program ialah kuliah Subuh dan Maghrib yang disampaikan oleh para fasilitator serta seorang ustaz jemputan iaitu Ustaz Abdul Rahman b. Md Hassan dari SBPI Batu Rakit iaitu kuliah maghrib pada 26/3, "Ke Arah Mewujudkan Usrah yang Berkesan".

Harapan I-Exist selaku pihak penganjur ialah semoga program ini dapat dimeriahkan lagi dengan lebih banyak penyertaan pada masa akan datang. Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan PROKIM 2010, terutama kepada guru penasihat I-Exist, YM Tuan Sharifah Hayati binti Tuan Hadi atas segala teguran dan bimbingan beliau. Juga kepada para fasilitator dan urus setia yang terdiri daripada batch SPM 07-08, hanya Allah yang dapat membalas jasa baik kalian.

"Aku berpesan kepada kamu supaya berbuat baik kepada pemuda, sesungguhnya hati mereka paling lembut. Sesungguhnya Allah telah mengutus aku membawa agama Hanafiah lalu para pemuda bergabung dengan aku dan orang-orang tua menentang aku."

{Hadis Rasulullah saw}