Saturday, August 28, 2010

Berkisar Ekonomi Semasa

Perbincangan berkaitan dengan Dinar Emas hari ini, telah menjadi satu isu yang secara tiba-tiba diberi perhatian. Sekejap sahaja apabila kerajaan Kelantan melancarkan Dinar Emas, pelbagai pihak memberi reaksi sama ada positif mahupun negatif. Tetapi, berapa lama isu ini akan terus diperkatakan, kalau masyarakat sekadar memandang perkara ini sebagai isu politik; modal politik atau pembantaian politik sama ada di pihak kerajaan mahupun pembangkang.

Dinar Emas, penting sangatkah? Dirham dan Fulus? Penting sangatkah? Bukankah kita sudah mempunyai wang kertas atau disebut sebagai 'fiat money' yang sudah kita gunakan bertahun-tahun, malahan berpuluh-puluh tahun. Untuk tukar mind set, untuk menggunakan emas sebagai alat transaksi jual beli, rasanya masyarakat belum bersedia - ada yang berfikiran begitu.

Kita lihat pada sinopsis kisah dan kronologi yang berlaku, serta plot dan jalan ceritanya.

Hakikat kejatuhan khilafah yang sebenar pada tahun 1909, manakala 1924 adalah pemansuhan khilafah secara total. Ini perkara pertama.

Pada tahun 1910, berlaku perbincangan dalam kalangan beberapa orang Yahudi - merupakan ketua-ketua pengurusan kewangan di beberapa buah negara - di sebuah pulau yang bernama Jekyll Island. Perbincangan tersebut berkisar 'monetary policy' dan juga sistem perbankan. Pada waktu inilah, Federal Reserve Department yang seterusnya membawa ke arah penubuhan Fraction Reserve banking diwujudkan. Apakah hasil perbincangan tersebut?

Teori kejatuhan ekonomi sekitar 100 tahun ini, bermula pada tahun 1910 sebagai 'initial time' mempamerkan kejatuhan ekonomi melalui kejatuhan masa yang tersusun, iaitu setiap 10 tahun. Secara hakikatnya, tidak semua kejatuhan ekonomi disebabkan konspirasi, malahan mungkin sahaja berlaku disebabkan tenaga luar kawalan kita; bala bencana yang diturunkan oleh Allah melalui 'Natural Disaster'.

Namun, ada figure yang tersembunyi di sebalik kejatuhan ekonomi terancang dalam beberapa peristiwa kejatuhan ekonomi. Setakat 1998 - manipulasi dan spekulasi mata wang, yang dihuru-harakan di kawasan Asia spesifikasinya Asia Tenggara oleh Soros - manakala 2008, berlaku pula percetakan wang kertas yang tidak terkawal dan melambakkan liabiliti terhadap peminjam - hatta si muflis pun boleh meminjam, kerana ketamakan ribawi - ditambah pula dengan kejatuhan terancang Lehman Brothers. Prinsip hutang - mudah sahaja untuk difahami - hutang akan menyebabkan manusia terikat. Kerana itu, IMF menjadi sumber untuk memeras negara-negara terdesak dengan perjanjian-perjanjian yang menguntungkan sebelah 'pihak'. Supaya negara tersebut akan mengikut telunjuk mereka.

1917, berlaku pula deklarasi Belfour, permulaan kepada pendudukan Yahudi di Palestin.

1924, pemansuhan khilafah.

1929, Great Depression atau Kemelesetan yang teruk akibat Keruntuhan Wall Street. Dikatakan, ekonomi mula pulih sekitar tahun 1939, kerana pada waktu itu banyak negara menumpukan kepada persediaan peperangan yang merangsang pertumbuhan ekonomi.

1944, perjanjian Bretton Woods, telah mengumpulkan banyak negara dengan menetapkan bahawa setiap negara perlu menerima pakai kadar pertukaran mata wang dengan emas.

1945, kewujudan IMF.

1948, Israel menjadi negara.

1971, Richard Nixon, Presiden US waktu itu, telah membatalkan tambatan US Dollar kepada emas kerana terlalu banyak peruntukan disalurkan pada Perang Vietnam. Perkara inilah yang menjadi asas kepada penamatan sistem Bretton Wood.

1980-an, berlaku kemelesetan ekonomi akibat krisis harga komoditi terutamanya minyak.

1998, krisis kewangan Asia (Financing Crisis).

2008, krisis kewangan US. banyak negara yang terkesan, termasuk Malaysia.

Kebanyakan krisis ini berlaku kerana penggunaan kertas yang tidak ditambat dengan sesuatu yang mempunyai nilai yang tetap, atau menjadi semakin tinggi, bukannya menurun. Tambatan pada nilai US, yang mungkin bila-bila masa sahaja akan mengalami kejatuhan teruk akan menyebabkan ekonomi kita akan menjadi tidak stabil.

Beberapa perbincangan yang dilakukan, kami percaya bahawa wang kertas masih relevan andai kata kita menggunakan konsep tambatan nilai mata wang dengan 'reserve' negara. Begitu juga, apabila OIC mampu untuk membina kesatuan menjadikan dinar emas sebagai transaksi jual beli sama ada melalui konsep tambatan ataupun penggunaan secara langsung, sebagaimana Eropah menjadikan matawang Euro sebagai mata wang transaksi, OIC akan jadi kuat.

Perkara ini pernah diusulkan pada zaman Mahathir. Manakala, Najib pada tahun lepas, juga mencadangkan supaya Perjanjian Bretton Wood kedua dilaksanakan, namun, kenapa masih tidak dapat dilaksanakan?

'Asking Question from surface into the inner part.'

Rangkaian cadangan dan pelaksanaan haruslah mendapat nasihat atau arahan. Ada hierakinya yang tersendiri. Negeri - Negara - Dunia. Siapa yang mengawal dunia? Tekanan dari luarlah yang membantutkan cadangan untuk dilaksanakan.

Tahniah kepada kerajaan Negeri Kelantan, kerana berjaya mencipta provokasi membuka minda, minda OIC juga negara Malaysia.




Mohd Hasbullah Mohamad Faudzi
Bekas Pelajar SMKA Tok Jiring (SPM 2007)
Bachelor of Economics
International Islamic University Malaysia

link - usrahonline-uia.blogspot.com

Friday, August 6, 2010

Kedatangan Tetamu; Bersediakah kita??



"Ya Allah, sampaikanlah kami kepada bulan Ramadan"

Itulah doa yang diajar Nabi S.A.W kepada umatnya yang rindukan kedatangan madrasah tarbiyah.
Semalam saya menerima satu sms menarik untuk dikongsi bersama:

"Salam, sebentar tadi bulan Sya'ban datang kepada saya. beliau berpesan bahawa jirannya, Ramadan Al Kareem akan datang melawat bersama seorang isterinya, Berkah, 2 orang anaknya, Sahur dan Iftor serta 3 orang cucunya iaitu Rahmat, Keampunan dan Keberkatan. Pesan bulan Sya'ban lagi, manfaatkanlah kedatangan tetamu ini nanti untuk mendapat ganjaran yang dijanjikanNya"

Satu sms yang begitu ringkas tetapi mengandungi segala intipati Ramadan yang kian tiba. Persoalannya, adakah kita sudah bersedia untuk 'melayan' kedatangan tetamu yang mulia ini?

Firman Allah S.W.T dalam surah Al-Baqaroh, ayat 183 :

" Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa"

Ayat ini menjadi dalil diwajibkan berpuasa kepada umat Islam yang diturunkan pada tahun kedua Hijrah setelah Rasulullah S.A.W berlaku hijrah dari Kota Mekah ke Madinah Al-Munawwarah. Intisari ayat yang mengandungi 3 elemen iaitu Iman, Puasa dan Takwa. Maka beruntunglah kepada kita andai semua elemen ini dapat kita capainya di bulan Ramadan nanti.

Sesungguhnya hikmah Allah tidak dapat dinafikan lagi dengan kewajipan berpuasa di bulan Ramadan. Setelah perut kita tidak henti-henti bekerja selama 11 bulan, maka tibanya Ramadan untuk mendidik nafsu diri dengan berpuasa.

Namun, di sebalik hari-hari yang mendatang ini kita masih leka tanpa sebarang persediaan untuk meraikan tetamu yang mulia ini. Bila tiba waktu tetamu istimewa datang ke rumah bukan main kita bersiap untuk meraikannya. Hidangan yang enak dan layanan istimewa sudah semestinya menjadi persembahan terbaik kita untuk mereka. Alangkah berbezanya layanan kita!

Kedatangan Ramadan yang sarat dengan muatan berkah, rahmat dan sebagainya di samping berlakunya peristiwa bersejarah seperti Perang Badar, Nuzul Al Quran dsb perlu disambut dan diraikan oleh kita sebagai umat Islam. Musim jualan 'Mega Sale' yang menawarkan ganjaran berlipat ganda ini amat rugi kalau kita biarkan berlalu tanpa kita tidak turut serta membeli-belah dalam musim ini.

Akhirnya, raikanlah kedatangan bulan Ramadan ini dengan 'hamparan karpet merah' seperti bacaan tadarus Al Quran, solat terawih di malam hari dan pelbagai lagi amalan-amalan sunat untuk mendapat ganjaran bonus dari Allah di penghujungnya serta cabutan bertuah, Malam Lailatul Qadr. Ahlan wasahlan Ya Ramadan Al Mubarak.