Friday, August 6, 2010

Kedatangan Tetamu; Bersediakah kita??



"Ya Allah, sampaikanlah kami kepada bulan Ramadan"

Itulah doa yang diajar Nabi S.A.W kepada umatnya yang rindukan kedatangan madrasah tarbiyah.
Semalam saya menerima satu sms menarik untuk dikongsi bersama:

"Salam, sebentar tadi bulan Sya'ban datang kepada saya. beliau berpesan bahawa jirannya, Ramadan Al Kareem akan datang melawat bersama seorang isterinya, Berkah, 2 orang anaknya, Sahur dan Iftor serta 3 orang cucunya iaitu Rahmat, Keampunan dan Keberkatan. Pesan bulan Sya'ban lagi, manfaatkanlah kedatangan tetamu ini nanti untuk mendapat ganjaran yang dijanjikanNya"

Satu sms yang begitu ringkas tetapi mengandungi segala intipati Ramadan yang kian tiba. Persoalannya, adakah kita sudah bersedia untuk 'melayan' kedatangan tetamu yang mulia ini?

Firman Allah S.W.T dalam surah Al-Baqaroh, ayat 183 :

" Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa"

Ayat ini menjadi dalil diwajibkan berpuasa kepada umat Islam yang diturunkan pada tahun kedua Hijrah setelah Rasulullah S.A.W berlaku hijrah dari Kota Mekah ke Madinah Al-Munawwarah. Intisari ayat yang mengandungi 3 elemen iaitu Iman, Puasa dan Takwa. Maka beruntunglah kepada kita andai semua elemen ini dapat kita capainya di bulan Ramadan nanti.

Sesungguhnya hikmah Allah tidak dapat dinafikan lagi dengan kewajipan berpuasa di bulan Ramadan. Setelah perut kita tidak henti-henti bekerja selama 11 bulan, maka tibanya Ramadan untuk mendidik nafsu diri dengan berpuasa.

Namun, di sebalik hari-hari yang mendatang ini kita masih leka tanpa sebarang persediaan untuk meraikan tetamu yang mulia ini. Bila tiba waktu tetamu istimewa datang ke rumah bukan main kita bersiap untuk meraikannya. Hidangan yang enak dan layanan istimewa sudah semestinya menjadi persembahan terbaik kita untuk mereka. Alangkah berbezanya layanan kita!

Kedatangan Ramadan yang sarat dengan muatan berkah, rahmat dan sebagainya di samping berlakunya peristiwa bersejarah seperti Perang Badar, Nuzul Al Quran dsb perlu disambut dan diraikan oleh kita sebagai umat Islam. Musim jualan 'Mega Sale' yang menawarkan ganjaran berlipat ganda ini amat rugi kalau kita biarkan berlalu tanpa kita tidak turut serta membeli-belah dalam musim ini.

Akhirnya, raikanlah kedatangan bulan Ramadan ini dengan 'hamparan karpet merah' seperti bacaan tadarus Al Quran, solat terawih di malam hari dan pelbagai lagi amalan-amalan sunat untuk mendapat ganjaran bonus dari Allah di penghujungnya serta cabutan bertuah, Malam Lailatul Qadr. Ahlan wasahlan Ya Ramadan Al Mubarak.


No comments:

Post a Comment