Friday, October 16, 2009

Remaja

Semasa kita kecil dulu, kita teringin utuk menjadi dewasa, tak sabar rasanya mahu memakai kemeja dan kot, atau mungkin berkopiah serban,kalau yang perempuan pula teringin memakai kasut bertumit tinggi seperti ibunya, atau mungkin bertudung jubah, malah ada juga yang kadang-kadang mencuri-curi pakai pakaian mereka kerana ingin merasai bagaimana rasanya menjadi dewasa. Ya, pada waktu itu kita rasa kita sangat segak dan bergaya, cantik manis, seronok dapat jadi orang dewasa yang bergaya..

Begitulah hati kanak-kanak, sangat mudah dibentuk, segala yang dilakukan oleh orang sekeliling mereka pasti ingin dicuba. Benar sekali sabda rasulullah s.a.w: “Anak itu dilahirkan dalam fitrah, orang tuanya lah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani ataupun Majusi”. Pepatah Melayu pun ada menyebut: “Melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Begitulah kita, senang terikut-ikut, suka buat apa yang masyarakat sekeliling buat dan pakai, malah bukan semasa kecil sahaja, ada juga yang terlekat amalan tersebut sehinggalah dewasa, kerana kehidupan mereka berkembang dari kecil hingga besar dalam suasana yang sama..

Tapi sekarang setelah kita menjadi remaja, dengan pelbagai kefahaman dan prinsip hidup, wujudlah bermacam-macam bentuk kehidupan remaja. Dengan berbekalkan ilmu mahupun ikut-ikutan, kita meneruskan kehidupan di Bumi Allah ini. Sebahagian remaja yang masih belum mengenal dunia akan terus mengamalkan sikap kanak-kanak mereka, mengikut fesyen dan perkembangan arus kemodenan sekeliling mereka, tanpa segan silu, tanpa tapisan lagi.

Alhamdulillah bagi golongan yang mendapat didikan dan pengetahuan daripada Allah, dengan perantara keluarga atau guru-guru mahupun kawan-kawan, mereka dapat menilai berat ringan masalah masyarakat, baik buruk sesuatu amalan sekeliling mereka. Maka mereka berusaha untuk mengamalkan amalan yang benar dan mengelak daripada terus berada dalam kejahilan. Dengan arus kemodenan dan kemajuan yang semakin mencabar, jalan kebenaran turut terkesan dan semakin sempit dan berliku.. Maka beruntunglah bagi mereka yang teguh berusaha mencari dan terus berada di atas jalan yang benar itu.

Tidak dinafikan golongan remaja sekarang yang kebanyakan mereka adalah dalam kalangan pelajar sekolah, semakin terjebak dengan berbagai kes, hanyut dalam arus masalah sosial yang menjunam ibarat air terjun, selamatlah mereka yang berjaya berpaut pada dahan-dahan dan batu-batu, namun yang menjunam, jarang sekali yang berjaya diselamatkan melainkan mereka yang terus kekal berusaha dan berazam, serta akhirnya dibantu oleh Allah sebagaimana Allah telah membantu sahabat-sahabat mereka terdahulu.

Hargailah peluang belajar di sekolah, terutama sekolah-sekolah agama, jangan kita anggap sekolah sebagai tempat yang mendera kita, sekolah adalah tempat kita menerima didikan dalam usaha menjadi manusia yang berguna, ramai yang tidak menghargai zaman sekolah mereka, dan menyesalinya apabila sudah keluar dan terjebak dengan masalah sosial. Kita sangat perlukan bekalan dari zaman sekolah kita bagi meneruskan kehidupan yang penuh dengan fitnah yang menakutkan.

Bagaimana kita pula sebagai remaja masa kini, adakah kita benar-benar termasuk dalam golongan mereka yang bertamadun, yang mengamalkan segala syari’at dan perintah Allah, serta menjauhi larangan-Nya, atau kita adalah dalam golongan yang melanggar garis panduan Islam..? Perhatikan dan muhasabah diri kita sendiri, bukan menunjuk ke arah orang lain, DIRI KITA SENDIRI.. Adakah kita sudah cukup menjalankan hak-hak yang sepatutnya kita tunaikan..?

No comments:

Post a Comment